Followers

Monday 19 September 2011

[Pendapat] Pengharaman perkongsian fail menyekat pembangunan ICT

Assalamualaikum...

Marcapada ini, Malaysia telah digemparkan dengan pengharaman web-web yang menyediakan khidmat perkongsian fail oleh Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (SKMM) akibat desakan daripada Recording Industry Association Of Malaysia (RIM) yang ingin membanteras gejala cetak rompak yang berlaku di Malaysia.

Pada pendapat aku, langkah ini juga turut menyumbang kepada impak yang negatif terhadap pembangunan negara. Wawasan 2020 yang menekankan penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi(ICT) juga boleh turut terjejas.



Hal ini disebabkan oleh perisian-perisian seperti Microsoft Visual Studio, Adobe Photoshop dan Adobe Flash ditawarkan pada harga yang tinggi. Mereka yang taksub kepada teknologi, khususnya remaja yang masih belajar, akan berasa terbeban untuk memiliki perisian-perisian yang popular ini. Minat mereka terhadap bidang ini akan mula pudar seterusnya lenyap dalam diri mereka.

Bidang teknologi, khususnya bidang seperti Kejuruteraan Perisian, tidak mendapat sambutan hangat daripada masyarakat. Apatah lagi apabila web-web yang menyediakan khidmat perkongsian fail ini diharamkan di Malaysia. Persoalannya, adakah Malaysia mampu melahirkan rakyat yang pakar dalam bidang komputer ini?

Hanya segelintir daripada rakyat Malaysia sahaja yang begitu cenderung terhadap bidang ini. Namun, dalam kalangan mereka terdapat segerombolan manusia yang ingin menggunakan kelebihan dan kepandaian mereka dalam bidang IT ini untuk kepentingan peribadi. Dengan menggunakan kemahiran Social Engineering (SE) yang ada pada mereka, mereka boleh menipu ramai orang dengan mudah.

Kepandaian mereka juga menyebabkan banyak akaun-akaun bank orang lain telah digodam dan duit mereka telah dicuri. Hal ini belum lagi termasuk dengan kes-kes yang berkaitan dengan carding, iaitu menggunakan identiti orang lain untuk membeli barang secara online dengan membuat kad kredit palsu.

Malaysia memerlukan lebih ramai pakar IT untuk menentang penjenayah siber ini. Namun, sekiranya mereka tidak dapat belajar kerana mereka tidak dapat memiliki perisian-perisian untuk membantu mengembangkan minat mereka, sudah pasti impian ini hanya menjadi sebuah angan-angan Mat Jenin sahaja.

Untuk melahirkan remaja yang pakar dalam bidang IT, mereka tidak perlu menunggu untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang tersebut. Mereka boleh menggunakan bantuan Google dan juga tunjuk ajar oleh masta-masta  dalam bidang ini. Minat ini harus dipupuk di bangku sekolah lagi, tanpa mengganggu pelajaran mereka di sekolah, kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya.

Kendatipun terdapat banyak perisian-perisian sumber terbuka (Open Source) yang telah dibangunkan, namun perisian-perisian ini tidaklah sebagus dengan perisian yang berharga beratus-ratus ringgit tersebut. Hal ini demikian kerana, pembangun-pembangun perisian tersebut kekurangan dana untuk mencipta perisian yang lebih bagus daripada perisian yang mahal.

Pihak kerajaan sepatutnya memberi dana kepada pembangun perisian tersebut sekiranya ingin mengharamkan khidmat perkongsian fail. Hal ini akan lebih menjamin masa depan yang cerah kepada pembangunan IT di negara kita.

Perkongsian fail ini boleh diibaratkan anda membeli sekeping DVD cerita Dua Alam oleh Dr Rozmey, setelah anda menontonnya anda memberikan DVD tu kepada kawan-kawan anda yang lain. Selepas itu, anda akan bercerita mengenai cerita Dua Alam tersebut.

Dari sudut agama pula, sebahagian ulama membenarkan penggunaan perisian cetak rompak sekiranya pengguna tersebut tidak mampu untuk membeli yang original asalkan tidak dikomersilkan1. Contohnya pelajar Tingkatan 3 memerlukan Microsoft Word  untuk menyiapkan kerja khusus Sejarah. Sekiranya ibu bapa mereka berasal daripada golongan yang berada, mereka tiada masalah untuk menyiapkan kerja khusus tersebut. Tetapi, apakah akan terjadi kepada golongan yang sederhana? Tepuk dada tanya selera.

Akhirulkalam, aku mengalu-alukan sesiapa yang berbeza pendapat dengan pernyataan aku di atas, anda dialu-alukan untuk mengemukakan pendapat anda di ruangan komen di bawah. Aku tidak akan memadamkan komen anda kecuali anda membuat provokasi kepada mana-mana pihak atau menggunakan emosi yang berlebihan ketika memberi pandangan.


____________________________________________________________________________________

UZAR
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...